SHAH ALAM, 28 MAC: Bantuan khas kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah sebulan gaji selesai diagih kepada penjawat awam negeri setakat ini, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan setengah gaji melalui Insentif Rekod Hasil Negeri yang diumum sebelum ini pula dijangka diagih pada 14 atau 15 April nanti.
“Bonus sebulan gaji diterima sebagaimana saya umum dalam belanjawan lepas. Lagi setengah bulan yang ditambah akan diterima pada 14 atau 15 April. Saya harap ia akan banyak membantu," katanya.
Ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada penggerak masjid hari ini, jelasnya, bantuan untuk penjawat awam persekutuan akan diagihkan antara 15 ke 16 April.
Sebelum ini, Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam yang dibayar secara berperingkat.
BKK pertama dibayar pada 30 Disember seterusnya 25 Mac sempena sambutan Aidilfitri.
Amirudin juga memberitahu kutipan hasil negeri RM2.8 bilion pada tahun lalu adalah kali keempat berturut-turut melangkaui sasaran awal.
Beliau turut menyatakan rizab negeri juga meningkat kepada RM4.5 bilion setakat Februari, berbanding RM3.8 juta yang dicatat dalam tempoh sama pada tahun lalu.