MANILA, 11 MAC: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kini dalam tahanan polis selepas tiba di Manila hari ini berikutan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) dalam kenyataan memaklumkan waran tangkap itu diterima oleh Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) Manila daripada ICC awal pagi tadi.
Duterte tiba di Filipina pada jam 9.20 pagi waktu tempatan dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific CX 907 dari Hong Kong.
Sejurus tiba, pendakwa menyerahkan pemberitahuan rasmi ICC yang mengesahkan waran tangkap terhadapnya, menurut PCO.
Bekas presiden berusia 79 tahun itu berdepan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di ICC berhubung kempen perang dadah berdarah ketika pemerintahannya.
PCO memberi jaminan bahawa Duterte berada dalam keadaan sihat dan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba.
"Bekas presiden dan pasukannya berada dalam keadaan baik, sudah diperiksa oleh doktor kerajaan," menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan ketelusan operasi, pegawai polis Filipina yang melaksanakan waran tangkap dilengkapi kamera badan, kata PCO.
Kerajaan sebelum ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan siasatan ICC terhadap Duterte, namun menyatakan bahawa negara itu tetap terikat dengan kewajipannya kepada Interpol.
- BERNAMA/PNA




