PETALING JAYA, 3 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi peringatan kepada peniaga bazar Ramadan supaya tidak menjual permit sementara kepada pihak ketiga.
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata tindakan penutupan serta-merta akan dikenakan kepada pihak yang menjual atau membenarkan pihak lain berniaga di bazar Ramadan.
“Semalam kita telah laksana pemantauan di 18 bazar Ramadan bagi memastikan tiada penjualan permit kepada orang lain seperti disaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekiranya didapati bukan pemilik permit berniaga, kita akan arahkan mereka tutup serta-merta kerana sebelum ini sudah dimaklumkan pada taklimat pengundian tapak,” katanya hari ini.
[caption id="attachment_689720" align="aligncenter" width="704"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bersama kakitangan sempena majlis penyampaian sumbangan bakul ramadan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 3 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Anwar yang juga menteri kewangan mengarahkan tindakan pembatalan lesen perniagaan bazar Ramadan kepada mereka yang menjualnya kepada pihak ketiga.
Ditemui pada majlis sumbangan bakul Ramadan dan tazkirah bersama kakitangan MBPJ, beliau turut mengingatkan para peniaga supaya menjaga kualiti dan kebersihan makanan.
“Setakat pemantauan semalam, kualiti makanan semua teratur namun penguatkuasaan terus dijalankan dari semasa ke semasa.
“Jika ada pelanggaran, kita akan nasihat terlebih dahulu namun sekiranya gagal mematuhi peraturan peniaga dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.