SHAH ALAM, 19 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka permohonan permit sementara bagi aktiviti jualan mercun dan bunga api sempena Aidilfitri kepada peniaga di kawasan pentadbirannya.
MBPJ memaklumkan, tarikh tutup permohonan permit berkenaan adalah pada 26 Februari manakala tempoh jualan yang dibenarkan dari 5 hingga 27 Mac.
“Semua pemohon dikehendaki mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan Petaling Jaya sebelum senarai permohonan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan.
"Selepas menerima kelulusan PDRM, peniaga diwajibkan melengkapkan permohonan secara dalam talian melalui sistem e-Lesen MBPJ di https://elesen.mbpj.gov.my.,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, MBPJ mengingatkan peniaga supaya mematuhi syarat, garis panduan serta tempoh jualan yang ditetapkan bagi memastikan aspek keselamatan awam dan kelancaran operasi sepanjang musim perayaan terus terpelihara.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Jabatan Pelesenan, Pembangunan Perniagaan dan Usahawan MBPJ di talian 013-9410146 atau hadir ke pejabat MBPJ pada waktu operasi Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.









