OLEH DANIAL DZULKIFLY
SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkepentingan bagi memastikan projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KDVT2) disiapkan mengikut jadual.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata langkah itu berikutan terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dan aduan penduduk setempat berhubung projek berkenaan.
“Projek ini penting untuk penduduk yang berulang-alik dari Klang ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
"Kami akan cuba memudahkan proses ini untuk memastikan projek berjalan lancar, termasuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh majlis tempatan dan menangani aduan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak projek KDVT 2 Sektor Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Terdahulu, Sze Han bersama wakil Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kontraktor utama KVDT2 iaitu Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd diberi taklimat berhubung kemajuan projek berkenaan di stesen LRT Subang.
Sze Han berkata jika projek berkenaan berjalan lancar, ia dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada 15,000 berbanding 10,000 sehari untuk berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Klang.
Fasa pertama KDVT, yang bermula pada 2016 membabitkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban, dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang bagi jarak kira-kira 150 kilometer (km).
KDVT 2 yang bermula awal 2023 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265km meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban, dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.


