AGENDA

MB: Selangor rekod pelaburan RM101 bilion, 90,000 peluang kerja tahun lalu

25 Feb 2025, 12:00 PM
MB: Selangor rekod pelaburan RM101 bilion, 90,000 peluang kerja tahun lalu
MB: Selangor rekod pelaburan RM101 bilion, 90,000 peluang kerja tahun lalu

SHAH ALAM, 25 FEB: Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM101 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM55 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah pelaburan itu diyakini membuka lebih 80,000 hingga 90,000 peluang pekerjaan di Selangor, sekali gus mencatat rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pentadbiran kerajaan perpaduan di Selangor.

“Tengah hari tadi, baru dilaporkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tahun lepas kita telah mencatatkan RM101 bilion (pelaburan) melebihi daripada sasaran kita RM55 bilion.

“Jika dengan RM55 bilion kita telah membuka atau menyediakan peluang pekerjaan lebih kurang 60,000, sekarang ini (dengan RM101 bilion) jumlahnya mungkin lebih daripada 80,000 hingga 90,000. Ini jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Tambah Amirudin, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan isi rumah di Selangor mencapai RM10,827, tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta kadar kemiskinan rendah pada 1.2 peratus.

“Daripada segi kadar penyertaan tenaga buruh, Selangor mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia iaitu 75.4 peratus yang mana faktor dan indikator ini menyebabkan Bank Dunia menakrifkan Selangor sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi pada 2 Julai 2024.

“Daripada kadar sosial pula, kita dapat lihat tiga bandar diiktiraf sebagai bandar paling bahagia iaitu Petaling Jaya, Klang dan Ampang Jaya,” katanya.

Menurut Amirudin, selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk mencapai sifar kemiskinan tegar, Kerajaan Negeri telah mengarahkan kemas kini data miskin tegar negeri setiap enam bulan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

[caption id="attachment_687102" align="aligncenter" width="1096"] Orang ramai hadir mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Kerjaya DUN Batu Tiga bersama MyfutureJobs di Dewan Beringin Seksyen 24, Shah Alam pada 15 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Antara inisiatif yang disediakan termasuklah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di peringkat persekutuan serta program Bingkas di peringkat negeri. Selain itu, kutipan zakat di Selangor yang melebihi RM1 bilion dalam tempoh dua tahun berturut-turut membantu usaha membasmi kemiskinan tegar di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini mengumumkan Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM378.5 bilion pada 2024, paras tertinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya, pada 2024 Selangor mendahului sebagai destinasi pelaburan teratas dengan pelaburan diluluskan RM101 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32.0 bilion).