SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan pengambilan vaksin denggi sebagai projek rintis untuk memelihara kesejahteraan kehidupan rakyat.
EXCO Kesihatan Awam Jamiliah Jamaluddin berkata pihaknya bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bercadang pemberian vaksin itu dimulakan dengan pemimpin-pemimpin komuniti.
“Cadangan juga melibatkan pengambilan vaksin terhadap Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor. Inisiatif ini diharapkan dapat melindungi mereka sebagai barisan hadapan komuniti.
“Selain itu, ia menggalakkan mereka untuk terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dan keberkesanan program pencegahan denggi di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah memaklumkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap aspek pencegahan seperti kebersihan kawasan persekitaran dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes ini.


