ad
EXCO

Selangor larang guna imam luar negara, cadang pelajar tahfiz pimpin solat tarawih

24 Feb 2025, 8:00 AM
Selangor larang guna imam luar negara, cadang pelajar tahfiz pimpin solat tarawih

SHAH ALAM, 24 FEB: Masjid dan surau di seluruh negeri ini dilarang menggunakan imam dari luar negara untuk mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah berkata pengurusan masjid dan surau dicadang menggunakan khidmat imam dalam kalangan pelajar tahfiz tempatan untuk mengimamkan solat itu.

“Untuk Ramadan tahun ini pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengarahkan supaya imam tempatan diberi keutamaan untuk memimpin solat jemaah dalam sesi solat tarawih.

“Kita cadangkan imam daripada penuntut tahfiz di Selangor. Imam luar tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sempena Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar melaporkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) jika penceramah di masjid serta surau dikesan tidak mempunyai tauliah pada bulan Ramadan ini.

“Orang ramai juga boleh membuat semakan status pemegang tauliah penceramah hanya memasukkan nama mereka dengan melayari PBNS E-Tauliah kendalian Mais,” jelasnya.

Pada masa sama, Fahmi Ngah memberitahu program Ihya’ Ramadan bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan diteruskan untuk tempoh 15 Ramadan.

“Pihak saya (Pejabat EXCO Agama Islam) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) juga akan menganjurkan program Selangor Iktikaf di 30 masjid terpilih untuk Ramadan akan datang,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.