SELAYANG, 14 FEB: Beberapa program utama bakal diperkenal susulan pelancaran Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor bagi menghadapi situasi negeri menua, kata EXCO Kebajikan Masyarakat.
Anfaal Saari berkata sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula minggu depan akan menjadi medium mempromosi inisiatif terbabit.
“Untuk sidang DNS kali ini tiada pengenalan dasar baharu. Sudah pasti kita akan terus mempromosikan inisiatif Kerajaan Negeri.
“Kita juga akan melaksanakan beberapa program besar selaras peluncuran Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang diperkenalkan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita.
[caption id="attachment_683194" align="alignleft" width="428"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Majlis Perasmian Program Swift EmpowerHER di Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Januari 2025.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer ditemui selepas meluangkan masa meninjau aktiviti masyarakat setempat di sekitar Taman Selayang Baru, di sini hari ini.
November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor, dengan memberi tumpuan kepada lima teras utama.
Lima teras itu adalah advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
DNS yang bersidang dari 18 hingga 27 Februari ini dijangka memberi tumpuan kepada beberapa isu kepentingan rakyat, termasuk infrastruktur dan masalah banjir.