SHAH ALAM, 30 OKT: Draf Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor akan dibentang sebagai satu usul dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual bermula 15 November ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata draf dasar bagi tempoh 2024 hingga 2030 itu akan turut dibawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor hari ini.
“Kita akan bentangkan dan bahaskan (dalam DNS). Apabila usul pembentangan itu diterima sebulat suara, ia akan diterima sebagai satu dasar yang akan dilaksanakan bagi tempoh tersebut,” katanya.
Maklum Anfaal, dasar bagi mendepani cabaran negara menua dan meningkatkan kesejahteraan sosial itu merangkumi lima teras dan 37 pelan tindakan yang akan mewujudkan ekosistem penjagaan lebih baik.
Katanya, teras itu meliputi advokasi dan promosi, tatakelola dan kawal selia, penyelia dan penjaga terlatih, kolaborasi dan pelaburan serta data, yang akan dilaksana secara berfasa.
[caption id="attachment_670636" align="aligncenter" width="724"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari melihat gerai pameran ketika majlis Konvensyen Warga Emas sempena sambutan Hari Warga Emas 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 27 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
"Pelan tindakan disenaraikan juga ada pemegang taruh tersendiri dengan tugas khusus. Dalam tempoh enam tahun ini, fasa pertama dari 2024 hingga 2026 dan fasa kedua 2027 hingga 2030,” katanya.
Selain kebajikan, beliau menjelaskan dasar tersebut mahu mengangkat ekosistem penjagaan sebagai peluang ekonomi khususnya buat wanita, yang akan menjana peluang pendapatan.
Daeipada sudut ekonomi, Anfaal berkata dasar itu juga bermatlamat menyediakan ekosistem kondusif untuk pelabur, terutama berkait bidang pembangunan teknologi dan pusat penjagaan.
“Ini adalah peluang baik kepada mana-mana syarikat yang melihat negara menua sebagai peluang ekonomi dengan pembangunan teknologi, contohnya alat bantuan penjagaan untuk warga emas seperti kerusi roda dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Anfaal berkata Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dijangka dilancar November ini menjadi kerangka penting mendepani cabaran negara menua.
Selain warga emas, dasar tersebut turut melibatkan sektor ekonomi penjagaan kanak-kanak dan wanita, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosial.