SHAH ALAM, 13 FEB: Kepimpinan selari antara Selangor dengan peringkat Pusat telah mempercepatkan kejayaan agenda pembangunan serta dasar ekonomi negeri ini.
Dato’ Menteri Besar berkata keselarasan itu bukan sahaja memudahkan proses pentadbiran tetapi turut memberi kesan langsung kepada rakyat dalam bentuk transformasi serta perubahan kehidupan mereka.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kerjasama erat membolehkan pelbagai program pembangunan dilaksanakan dengan lebih cekap dan menyeluruh sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Rekod kita sejak 2009 sumbangan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kepada nasional sentiasa meningkat kecuali 2014. Itu menunjukkan konsistensi dalam pengurusan ekonomi walaupun ada dalam penggal tertentu, kita tidak sehaluan dengan pentadbiran kerajaan persekutuan.
“Bila kita bersama dengan kerajaan persekutuan, banyak yang dapat dipermudahkan. Contohnya proses transformasi dan pembangunan sosial secara komprehensif di kawasan rumah kos rendah.
“Ada dua tempat di Selangor iaitu Lembah Subang dan Kampung HICOM. Lembah Subang baru ambil alih selepas perbincangan panjang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dulu tidak sepakat, susah nak dilaksanakan, bila telah sama (kerajaan persekutuan) program dapat dibuat,” katanya.
Amirudin berkata demikian dalam program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur terbitan TVAlhijrah malam tadi, yang turut mengundang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata Selangor dilihat mampu memacu dan menguruskan ekonomi dengan lebih sofistikated serta teratur di bawah kepimpinan Amirudin, dengan sokongan padu kerajaan persekutuan.
Menurut beliau, kestabilan di peringkat persekutuan mempermudah pelbagai urusan di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan Selangor.
“Di bawah kepimpinan Menteri Besar (Amirudin), menguruskan ekonomi sekarang ini jauh lebih sofistikated dan teratur kerana ada sokongan kerajaan persekutuan. Kestabilan yang ada di peringkat persekutuan mempermudah pelbagai urusan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau turut menyatakan keutamaan kerajaan persekutuan terhadap isu ekonomi memberi kelebihan besar dan limpahan manfaat kepada Selangor, sejajar dengan rekod cemerlang negeri tersebut dalam pertumbuhan ekonomi dan pelaburan sejak 2008.
[caption id="attachment_686836" align="aligncenter" width="697"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika menjadi tetamu program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur yang disiarkan secara langsung di TVAlhijrah pada 13 Februari 2025.[/caption]