GOMBAK, 10 FEB: Sambutan Hari Thaipusam peringkat negeri yang berlangsung di pekarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini meriah apabila puluhan ribu penganut Hindu meraikannya.
Dirasmikan Dato’ Menteri Besar, majlis berlangsung sejak petang tadi turut menarik kehadiran pelancong luar negara yang teruja dengan perayaan kesyukuran kaum dalam melaksana nazar atau menebus dosa.
Meski ada yang terpaksa berjalan lebih dua kilometer berikutan keadaan sesak, kebanyakan mereka yang datang dengan pakaian berwarna warni tetap gembira menghayati acara kebudayaan mereka.
[caption id="attachment_686372" align="alignnone" width="854"] Ribuan penganut Hindu membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Gombak sempena perayaan Thaipusam yang disambut esok ketika tinjauan pada 10 Februari 2025. Thaipusam merupakan perayaan bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam majlis berkenaan, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berjumlah RM561,000 kepada 61 kuil sekitar Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Pada Jumaat, perdana menteri bersama Amirudin mengadakan lawatan kerja ke kuil berkenaan dan turut mengumumkan bantuan naik taraf dewan serba guna kuil Sri Maha Mariamman, Batu Caves.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan memudahkan proses kelulusan pembinaan selain menyelesaikan status tanah dan teknikal pentadbiran bagi tujuan pembangunan.
Beliau turut menghargai 1,500 pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor yang ditempatkan di sekitar Batu Caves bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam esok.