KUALA KUBU BHARU, 9 FEB: Pengusaha taman tema di Selangor diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengunjung menjadi keutamaan.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata tiada taman tema yang terkecuali daripada undang-undang dan insiden yang berlaku di taman tema i-City perlu dijadikan contoh.
“Saya mahu ingatkan semua pengusaha taman tema, jangan abaikan keselamatan dan mesti patuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita tidak mahu insiden tidak diingini berlaku dan kemudian semua pihak akan salahkan PBT. Perkara ini mesti diambil perhatian,” katanya kepada pemberita.
[caption id="attachment_686200" align="alignleft" width="500"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim pada sidang media selepas majlis perasmian Pesta Joran Selangor 2025 di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu Selangor pada 9 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian Pesta Joran 2025 di Tasik Fraser Valley di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.
Mengulas lanjut, Suee Lim berkata pengusaha permainan gelongsor air kaca di taman tema i-City masih tidak dibenarkan beroperasi selagi tidak mengemukakan dokumen rasmi yang diperlukan.
Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang tempoh masa dan bergantung kepada usaha pihak terbabit menyerahkan dokumen termasuk kebenaran merancang dan permit bangunan.
“Terpulang pada mereka, selagi mereka tidak hantar dokumen kita tidak benarkan buka. Kalau mereka mahu tanggung rugi, silakan,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City terjatuh dan menimpa pengunjung.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema tersebut.
Pada 31 Januari, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 di sini, sejak 14 November lalu, susulan pihak i-City meneruskan operasi permainan gelongsor air kaca.
MBSA juga kesal apabila pihak i-City gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan walaupun beberapa notis amaran dikeluarkan sebelum ini.