SHAH ALAM, 8 FEB: Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda Klang, Petaling dan Sepang hingga 10 malam.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook, cuaca sama dijangka berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya selain beberapa kawasan di Perak, Sarawak dan Sabah.
Agensi itu memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


