GOMBAK, 7 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama 1,000 jemaah di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati di sini, hari ini.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ampang Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.
Ketibaan Anwar dan Amirudin sekitar jam 1.30 petang disambut Imam Masjid Al-Mardhiyah Fahmiz Abdul Aziz dan para jemaah.
[caption id="attachment_685836" align="alignnone" width="896"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Orang Besar Daerah Gombak Dato' Paduka Raja Tan Sri Dato' Wan Mahmood Pawan Teh ketika solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati pada 7 Febuari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mereka dan jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Memperkasa Wakaf Membangun Umat’ yang disampaikan Imam Fahmiz Abdul Aziz.
Anwar yang berbaju Melayu biru muda kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum beredar meninggalkan masjid jam 2.20 petang.
Perdana menteri ditemani Dato’ Menteri Besar kemudian menikmati makan tengah hari di Medan Selera Tanjung, Taman Melawati bersama pemimpin setempat dan orang ramai.
Anwar yang juga menteri kewangan seterusnya melawat Batu Caves untuk bertemu komuniti India sempena sambutan Thaipusam yang bakal disambut Selasa depan.
Aktiviti makan tengah hari bersama penduduk dan solat Jumaat merupakan program mingguan perdana menteri untuk lebih mendekati rakyat sejak mengetuai Kerajaan Perpaduan pada November 2022.