ad
AGENDA

Malaysia tolak cadangan tidak masuk akal usir warga Palestin secara paksa

6 Feb 2025, 4:16 AM
Malaysia tolak cadangan tidak masuk akal usir warga Palestin secara paksa
Malaysia tolak cadangan tidak masuk akal usir warga Palestin secara paksa

SHAH ALAM, 6 FEB: Malaysia tegas dengan pendirian menolak sekeras-kerasnya cadangan tidak masuk akal untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.

Menteri luar berkata usul memaksa rakyat Palestin keluar atau ditempatkan di negara ketiga jelas bertentangan dengan konvensyen, piagam dan triti antarabangsa.

Menurut Dato’ Seri Mohamad Hasan, ia turut dipersetujui rakan sejawat Asean lain dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan kelak berhubung perkara tersebut.

"Pagi ini Wisma Putra sebagai jurucakap kerajaan keluarkan kenyataan menegaskan kita menentang dan tidak setuju mengusir secara paksa rakyat Palestin kerana mereka sendiri nyatakan tidak mahu berganjak daripada tanah air mereka.

“Malaysia menyokong perjuangan Palestin bukan sehari dua. Kita menyokong perjuangan mereka dapatkan hak, negara yang merdeka. Kita bukan menyokong kerana isu lain,” katanya.

[caption id="attachment_685585" align="alignright" width="500"] Menteri Luar Dato' Seri Mohamad Hasan. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah mengenai pendirian Malaysia berhubung perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menegaskan Malaysia selaku pengerusi Asean tidak bersetuju dengan tindakan yang melanggar hak asasi manusia, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau undang-undang antarabangsa.

“Jadi pengumuman untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza merupakan satu perkara yang amat kita kesali,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan satu visi untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Timur Tengah'.

Trump mendakwa semua orang yang membincangkan isu Gaza menyukai idea AS memiliki tanah itu, membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan dengan sesuatu yang akan menjadi luar biasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.