SHAH ALAM, 5 FEB: Permainan gelongsor air kaca di taman tema i-City tidak dibenarkan beroperasi selagi pihak terbabit belum mengemukakan dokumen termasuk kebenaran merancang dan permit bangunan.
Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya pihaknya mengadakan pertemuan dengan pihak taman tema baru-baru ini dan meminta mengemukakan semua dokumen berkaitan.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan pertemuan dengan pihak i-City sehari selepas kejadian (pelampung permainan gelongsor air kaca terjatuh). Kita minta mereka kemuka semua dokumen namun sehingga hari ini tidak menerimanya biarpun diminta berbuat segera.
[caption id="attachment_685459" align="alignleft" width="415"]
Datuk Bandar MBSA Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Sesi Town Hall Bagi Pelan Tebatan Banjir Setia Alam Seksyen U13, Shah Alam di Hotel Concorde, Shah Alam pada 05 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bagaimanapun, kita tidak menetapkan sebarang tarikh penyerahan cuma selagi tidak menyerahkan dokumen diminta seperti kebenaran merancang, permit bangunan dan lesen perniagaan mereka tidak dibenarkan beroperasi,” katanya kepada SelangorKini.
Mohd Fauzi menegaskan tindakan diambil mengikut perundangan dan peraturan ditetapkan demi keselamatan pengunjung.
“Saya hendak tegaskan bahawa MBSA mengikut undang-undang dan mempunyai bukti kukuh bagi semua tindakan diambil.
“Mana-mana pihak yang ingin mengusahakan aktiviti perniagaan perlu mengemukakan segala dokumen untuk dinilai jurutera. Ini penting bagi memastikan segala aktiviti memenuhi syarat sekali gus demi keselamatan,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema tersebut.
Pada 31 Januari, MBSA memaklumkan mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 di sini, sejak 14 November lalu, susulan pihak i-City meneruskan operasi permainan gelongsor air kaca.
Pihak berkuasa tempatan juga kesal pihak i-City gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan walaupun beberapa notis amaran dikeluarkan sebelum ini.


