SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Ini istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim, selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024, lapor Berita Harian..
Keberangkatan tiba baginda di Dewan Rakyat kira-kira jam 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut menghadiri istiadat berkenaan.
Sejurus tiba, Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Yang di-Pertuan Agong untuk baginda menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.


