ad
AGENDA

Selangor siap siaga hulur bantuan pascabah di Sarawak, Sabah

2 Feb 2025, 5:21 AM
Selangor siap siaga hulur bantuan pascabah di Sarawak, Sabah

SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan Selangor sentiasa bersiap siaga menghulur bantuan bagi membantu proses pemulihan pascabanjir di Sabah dan Sarawak yang terkesan akibat bencana itu.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya kini masih memantau perkembangan banjir di kawasan terlibat dan menilai pelbagai sudut keperluan menghantar pasukan sukarelawan pada fasa pemulihan nanti.

Jelasnya kawasan terjejas teruk yang memerlukan sokongan termasuk daripada segi sukarelawan dan logistik akan dikenal pasti untuk keperluan bantuan sekiranya memerlukan.

“Sebagaimana amalan kita di negeri lain sebelum ini, selepas bah kita lihat keperluan untuk hantar pasukan sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan mengembalikan semangat mereka.

“Macam sebelum ini di Kelantan dan Kedah pun kita ada hantar sukarelawan. Jadi Sarawak Sabah ini kena lihat daripada segi kos dan sebagainya yang kita akan selaraskan sebaiknya. Tapi apa pun kena pantau situasi semasa,” katanya.

Beliau ditemui pada Karnival Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini, hari ini.

Setakat 8 pagi hari ini, dilaporkan jumlah mangsa banjir di Sarawak berkurangan namun masih melepasi angka 12,000 orang.

Seramai 12,116 mangsa masih di tempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan enam bahagian terjejas, berbanding 12,423 mangsa malam tadi.

Manakala di Sabah jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 1,651 orang daripada 537 keluarga pada pukul 8 pagi ini, berbanding 1,485 orang daripada 493 keluarga pada malam tadi.

Pada 2 Januari, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan RM500,000 kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.