SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian baucar bernilai RM150 membabitkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) bermula esok.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata baucar akan diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang telah diluluskan pendaftaran sebagai ahli Skim Mesra pada 2024 dan tahun-tahun sebelumnya.
“Pendaftaran baru ditutup buat sementara waktu sebagai langkah untuk menambah baik inisiatif sedia ada kepada perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan golongan sasar.
“Mulai tahun ini, ahli boleh membuat tuntutan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut tempat mengundi,” maklumnya menerusi kenyataan.
Pada masa sama, Anfaal memberitahu Kerajaan Negeri menetapkan setiap ahli perlu menggunakan baucar dalam tempoh 90 hari daripada tarikh dituntut.
Anfaal menambah tuntutan baucar perlu dibuat mengikut bulan kelahiran ahli membabitkan empat fasa, iaitu:
Fasa 1: Ahli yang lahir pada bulan Januari hingga Mac (tempoh tuntutan Februari hingga Mac)
Fasa 2: Ahli yang lahir pada bulan April hingga Jun (Tempoh tuntutan April hingga Jun)
Fasa 3: Ahli yang lahir pada bulan Julai hingga September (Tempoh tuntutan Julai hingga September)
Fasa 4: Ahli yang lahir pada bulan Oktober hingga Disember (Tempoh tuntutan Oktober hingga Disember)
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM20 juta untuk melaksanakan skim itu mulai 1 Jun ini, yang memanfaatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta OKU.
Sebelum ini, bantuan khairat kematian warga emas melalui SMUE dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.