SABAK BERNAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri akan memanggil pengusaha taman tema Seksyen 7 di Shah Alam bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insiden permainan gelongsor air kaca baru-baru ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak i-City akan dipanggil untuk menjawab semua persoalan berhubung kejadian tersebut.
“Amaran dan teguran telah diberikan November lalu supaya tidak memulakan operasi kerana perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Operasi kini dihentikan dan boleh memulakan semula jika memenuhi syarat serta aspek keselamatan.
[caption id="attachment_684964" align="aligncenter" width="1126"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Selangor 2025 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 1 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pemberhentian operasi kerana aspek keselamatan menjadi keutamaan dan kalau ada keperluan dikenakan kompaun kita akan keluarkan.
“Kita akan panggil pihak terbabit untuk menjawab persoalan namun jika mereka menghantar permohonan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan teliti dan proses seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan perayaan Thaipongal peringkat Selangor di Dewan Seri Sekinchan yang turut dihadiri EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail.
Terdahulu, Amirudin menyerahkan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) kepada 10 usahawan bagi membantu mengembangkan perniagaan yang diusahakan.
Sebelum ini tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema berkenaan.
Susulan kejadian, MBSA memaklumkan pihaknya mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 sejak 14 November tahun lalu, namun i-City gagal mematuhi amaran itu sehingga notis terbaharu dikeluarkan lagi kelmarin.
[caption id="attachment_684965" align="aligncenter" width="1111"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) ketika majlis Perasmian Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Selangor 2025 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 1 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


