SHAH ALAM, 29 JAN: Amaran hujan berterusan tahap bahaya dijangka melibatkan beberapa kawasan Seksyen A di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook jam 8 pagi ini memaklumkan amaran hujan berterusan (tahap buruk) dijangka melanda kawasan Seksyen B di Sarawak iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).
Manakala di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Sementara amaran hujan berterusan (tahap waspada) Seksyen C dijangka melanda Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod).
Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada itu dijangka melanda sehingga Jumaat, 31 Januari 2025.
MetMalaysia memaklumkan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



