SHAH ALAM, 28 JAN: Sidang Kemuncak Penjagaan Asean Selangor akan diperkenalkan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober depan.
EXCO kebajikan berkata sepanjang empat hari, program julung kali itu memfokuskan dasar ekonomi penjagaan yang dilihat mampu menjadi sumber ekonomi masa akan datang.
Anfaal Saari menjelaskan pelbagai program menarik dirancang antaranya forum menampilkan pakar termasuk dari luar negara yang membincangkan isu ekonomi penjagaan selain berkongsi pengalaman.
“Kita juga adakan pameran serta mengetengahkan hasil kajian universiti mengenai isu ini. Kita juga pamerkan peralatan penjagaan khas selain pusat-pusat jagaan yang menawar pelbagai khidmat jagaan.
“Ini menjadi idea kepada penggiat industri selain mampu menarik pelabur. Penglibatan ini juga akan menjadi platform padanan perniagaan sekali gus akan memenuhi kehendak pasaran,” katanya ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Pada November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor, antara persediaan menghadapi situasi negeri menua.
Menurut beliau, dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
Dasar yang berlangsung sehingga 2030 mengambil kira aspek penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.