EXCO

Hampir 3,000 dibantu dapat dokumen pengenalan menerusi program MySel

22 Jan 2025, 7:25 AM
Hampir 3,000 dibantu dapat dokumen pengenalan menerusi program MySel

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 2,522 individu dibantu mendapatkan dokumen pengenalan diri menerusi Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (MySel) sejak 2018 hingga November tahun lalu.

EXCO pembasmian kemiskinan memaklumkan semua individu yang dibantu itu membabitkan pelbagai kes antaranya sijil kelahiran, warganegara, anak angkat dan imigresen.

“Secara keseluruhan kita terima 6,545 permohonan dan berjaya selesaikan 2,522 kes. Antara kes paling banyak diselesaikan membabitkan warganegara iaitu 654, diikuti 616 sijil kelahiran dan anak angkat 560 kes.

“Kerajaan Negeri hanya memainkan peranan membantu individu-individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan kerana rata-rata mereka merupakan pelajar yang hendak menduduki peperiksaan.

“Kita bukannya masuk campur bidang kuasa imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, cuma hanya menyelesaikan masalah dengan menjadi pemudah cara termasuk memberi kaunseling,” kata V Papparaidu dalam sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, tempoh permohonan bagi proses dokumen pengenalan diri seawal setahun dan paling lama pernah direkodkan tujuh tahun bergantung kepada maklumat tambahan diperlukan.

Sementara itu, ahli perniagaan Ooi Kwan Ping, 50, memaklumkan beliau menunggu lebih lima tahun bagi mendapatkan kad pengenalan anak sulungnya yang bakal bersekolah tahun ini.

“Saya berkahwin dengan isteri warganegara China di sana dan anak sulung lahir di sini. Bagaimanapun anak tidak mendapat dokumen kerana mengalami masalah pendaftaran perkahwinan.

“Banyak prosedur yang dibuat termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta turun naik mahkamah. Kini tidak perlu risau lagi kerana anak sudah mendapat kad pengenalan dan boleh bersekolah,” katanya.

MySel diwujudkan pada 2018 bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawai berkaitan berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.