SHAH ALAM, 21 NOV: Sebanyak 2,178 daripada 5,058 permohonan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (Unit MySel) diselesaikan sejak 2020 hingga Oktober lalu.
EXCO pembasmian kemiskinan berkata sebanyak 537 kes berkaitan sijil kelahiran ikuti kad pengenalan (414), sijil warganegara (555), anak angkat (521) imigresen (119) dan kad orang kurang upaya (30).
Menurut V Papparaidu, kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu dengan 926 kes diikuti Cina (794), India (547) dan lain-lain (86).
“Peranan utama MySel membantu, menyelaras dan menyediakan dokumen berkaitan untuk memastikan setiap permohonan yang dikemukakan kepada agensi dan jabatan adalah lengkap dan teratur.
“Setiap permohonan tertakluk kepada prosedur dan syarat semasa di bawah bidang kuasa beberapa pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao yang ingin mengetahui jumlah permohonan dan kes diselesaikan di bawah MySel dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada masa sama, Papparaidu memaklumkan MySel sentiasa bersedia dan bersikap terbuka membantu kanak-kanak mendapat hak kewargenaraan mengikut kriteria ditetapkan.
“Namun begitu, mereka tidak mempunyai kuasa dalam memberi sebarang kelulusan terhadap setiap permohonan dibuat,” katanya lagi.


