KLANG, 21 JAN: Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan lebih banyak agensi swasta dalam usaha memberdaya dan memperkasa peranan wanita kepada ekonomi Selangor.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata golongan wanita kini lebih berdaya saing dan mampu meneroka apa jua peluang pekerjaan termasuk yang sering diceburi lelaki.
“Perjuangan untuk pemberdayaan wanita adalah perjalanan yang panjang. Sehingga kini, masih terdapat kesenjangan gender yang sangat besar daripada aspek partisipasi tenaga buruh.
“Usaha ini memerlukan pembaharuan serta penambahbaikan secara berterusan selain kerjasama pelbagai pihak,” katanya pada majlis pelancaran program Swift EmpowHER, di sini hari ini.
[caption id="attachment_683194" align="alignleft" width="500"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Majlis Perasmian Program Swift EmpowerHER di Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Januari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program inisiatif syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu Swift Haulage Berhad (Swift) itu menawarkan beberapa insentif menarik kepada pekerja wanita termasuk menyasar penyertaan 10 peratus pemandu logistik wanita.
Ketika ini, Swift memiliki 1,600 pemandu trak dengan enam daripadanya merupakan pemandu logistik wanita, yang baharu tamat program Iron Women anjuran Volvo Trucks Malaysia.
Dalam pada itu, Anfaal memuji insentif yang ditawarkan Swift dan berharap usaha berkenaan menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat lain pada masa hadapan.
Menurutnya, inisiatif tersebut mempu mendorong wanita khususnya ibu tunggal, untuk kembali ke sektor pekerjaan setelah sekian lama memainkan peranan sebagai penjaga keluarga.
“Golongan wanita yang terlibat dalam sektor logistik bukan sekadar menjadi tenaga kerja tetapi memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan, pengurusan pengangkutan dan operasi yang kompleks,” katanya.
Mei lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang bermatlamat meningkatkan status sosio-ekonomi dan autonomi wanita serta merapatkan jurang gender di semua peringkat.
[caption id="attachment_683152" align="aligncenter" width="1104"]
Pemandu wanita dari Swift Haulage Berhad bergambar berlatarkan belakang lori dipandu mereka pada Majlis Perasmian Program Swift EmpowerHER di Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Januari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_683195" align="aligncenter" width="1080"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari dan pemandu lori wanita Zanariah Che Din menghidupkan enjin lori selepas Majlis Perasmian Program Swift EmpowerHER di Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Januari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]


