AGENDA

SKMM peruntuk lebih RM600 juta tambah baik liputan Wi-fi universiti awam

21 Jan 2025, 9:36 AM
SKMM peruntuk lebih RM600 juta tambah baik liputan Wi-fi universiti awam
SKMM peruntuk lebih RM600 juta tambah baik liputan Wi-fi universiti awam

KOTA BHARU, 21 JAN: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperuntukkan lebih RM600 juta untuk menambah baik akses rangkaian Wi-fi di semua universiti awam di seluruh negara yang dijangka siap tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hal ini berikutan antara aduan yang diterima oleh SKMM daripada universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ialah isyarat Wi-fi rendah walaupun terdapat liputan Internet selain liputan mudah alih yang perlu ditambah baik, dan menambah menara perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di luar bangunan kampus.

"Kita dah mula fasa yang pertama di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan dijangka 5 Februari ini siap, malah pihak KPT juga melalui Rolling Plan, Rancangan Malaysia ke-12 akan salurkan peruntukan sama ada untuk ganti atau tambah baik akses Internet di kampus.

[caption id="attachment_683167" align="aligncenter" width="884"] Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 21 Januari 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

"Memandangkan melibatkan jumlah kampus banyak, jadi kita akan selesaikan fasa pertama dan kita jangka dalam beberapa bulan lagi fasa kedua bermula dengan proses tender, selepas itu pelaksanaan … jadi, kita jangka sebelum hujung tahun semua yang dihasratkan ini dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sebelum ini, SKMM dilaporkan akan memperuntukkan RM13.7 juta bagi perolehan lebih 2,000 titik akses rangkaian Wi-fi di tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA), iaitu UM, Usim dan Unimap.

Pada 25 September lalu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SKMM dan KPT agar segera menyelesaikan isu capaian Internet di IPTA kerana kebanyakan kampus akan menerima kemasukan pelajar dalam tempoh terdekat.

- BERNAMA