SHAH ALAM, 21 JAN: Isu infrastruktur dan banjir dijangka antara tumpuan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bakal membuka tirai pada 18 Februari depan.
Speaker DNS Lau Weng San ketika dihubungi berkata jangkaan itu berikutan kedua-dua isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat yang perlu ditangani dan diselesaikan segera.
"Tumpuan utama kali ini juga berkaitan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj," katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_651844" align="alignright" width="430"] Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San menangguhkan sidang DNS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau turut memaklumkan tarikh tutup bagi serahan soalan wakil rakyat pada 28 Januari untuk membolehkan pejabat EXCO menyediakan jawapan sebelum sidang berlangsung.
“Kita akan memanggil wakil pejabat EXCO selepas itu supaya kelancaran penyediaan jawapan dan penyusunan soalan memandangkan persiapan DNS bertembung cuti perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Dalam pada itu, Weng San turut mengingatkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mematuhi waktu kehadiran dan aktif berbahas, termasuk bertanya soalan tambahan dalam isu yang dibangkitkan.
Sebelum ini, beliau memaklumkan sidang DNS dijadual berlangsung sehingga 3 Mac, yang disesuaikan dengan Ramadan bagi memberi masa secukupnya umat Islam menjalankan ibadah puasa.