KOTA BHARU, 11 JAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM506,000 di Masjid Mukim Bakong, Pasir Mas Khamis lalu.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA selepas menahan dua lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, kira-kira 3.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan ekor lembu dengan anggaran berat lebih 5,200 kilogram (kg), empat ekor kerbau dengan anggaran berat lebih 3,200 kg dan 40 ekor kambing dengan anggaran berat lebih 4,000 kg yang ditemukan dalam lori jenis Isuzu tanpa permit sah.
"Pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 28 dan 30 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup haiwan tersebut ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua suspek serta barangan rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
- BERNAMA


