KUALA SELANGOR, 4 JAN: Kerajaan Negeri sedia mengkaji semula garis panduan penganjuran acara hiburan bagi memastikan insiden membabitkan kematian pengunjung tidak berulang.
EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi berkata pihaknya kesal terhadap kejadian empat individu yang dilapor meninggal dunia selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
“Kita kesal dengan apa yang berlaku dan yakin pihak berkusa telah ambil keputusan sewajarnya. Saya harap penganjur dapat lihat semula kaedah pelaksanaan (konsert).
“Saya akan bincang dengan EXCO kerajaan tempatan untuk lihat semula perkara ini. Saya setuju supaya kita semak dan kaji semula garis panduan penganjuran konsert dan hiburan,” katanya.
Terdahulu, Najwan menyempurnakan perasmian Karnival Jelajah Belia Madani peringkat Kuala Selangor yang dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
[caption id="attachment_680675" align="alignnone" width="719"] Pertandingan santai pancing Pantai Remis ketika program Jelajah Belia Madani Selangor Peringkat Kuala Selangor di Pantai Remis, Kuala Selangor pada 4 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, empat individu dilapor meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway sempena sambutan ambang tahun baharu.
Selain empat mangsa, terdapat tiga lagi mangsa lain dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Susulan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert bagi mengelakkan insiden pengunjung maut akibat dadah berulang.