AGENDA

Selangor sumbang RM500,000 ringankan beban mangsa bah di Kelantan

2 Jan 2025, 10:43 AM
Selangor sumbang RM500,000 ringankan beban mangsa bah di Kelantan
Selangor sumbang RM500,000 ringankan beban mangsa bah di Kelantan
Selangor sumbang RM500,000 ringankan beban mangsa bah di Kelantan

KOTA BHARU, 2 JAN: Dato’ Menteri Besar hari ini menyerahkan bantuan RM500,000 kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasminya di sini.

Amirudin memaklumkan sumbangan berkenaan sebagai tanda persefahaman dan semangat keinsanan antara satu sama lain.

“Ini merupakan bantuan kali kedua yang mana sebelum ini kita ada serahkan pada 2022. Ini bukan perkara aneh sebaliknya sumbangan ini tanda persefahaman dan semangat keinsanan yang ingin disuburkan Kerajaan Selangor.

“Malah, kita sesama Kerajaan Negeri ingin menyuburkan budaya bantu membantu antara satu sama lain. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu proses pemulihan di Kelantan,” katanya kepada pemberita.

Kunjungan hormat Amirudin ke Kelantan turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Haris Kasim dan EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi.

[caption id="attachment_680421" align="aligncenter" width="815"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani buku tetamu ketika mengetuai kunjungan hormat delegasi Selangor ke kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Bharu pada 2 Januari 2025. Foto RADIN WAZIR/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Mohd Nassuruddin bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang sentiasa membantu Kelantan.

“Bantuan seperti ini bukan perkara baharu antara negeri. Sebelum ini juga mana-mana negeri dilanda musibah, negeri lain pasti membantu menyampaikan bantuan. Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Selangor.

“Bantuan ini akan digunakan kepada mangsa banjir terutama yang teruk khususnya di Pasir Mas dan Tumpat. Kita akan lihat apa yang mereka perlukan dan akan agih sumbangan menggunakan bantuan ini.

“Bagi sembilan buah rumah yang musnah sepenuhnya, Kerajaan Persekutuan akan membina semula kediaman mereka, cuma Kerajaan Negeri perlu menyediakan tanah lain kerana tapak lama kini menjadi laluan air,” katanya.

Pada Disember 2022, Amirudin mengumumkan Kerajaan Selangor menghulur sumbangan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir di dua negeri berkenaan.

[caption id="attachment_680420" align="aligncenter" width="761"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Haris Kasim dan EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi ketika kunjungan hormat ke kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Bharu pada 2 Januari 2025. Foto RADIN WAZIR/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR[/caption]