ad
AGENDA

Rapid KL rekod jumlah penumpang tertinggi, 1.5 juta malam tahun baharu

2 Jan 2025, 3:57 AM
Rapid KL rekod jumlah penumpang tertinggi, 1.5 juta malam tahun baharu

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Rapid KL membuka lembaran baharu 2025 dengan mencipta sejarah tersendiri apabila mengendalikan hampir 1.5 juta penumpang pada 31 Disember lepas, yang merupakan rekod jumlah pengguna harian paling tinggi dalam sejarah penubuhannya.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menerusi kenyataan memaklumkan kehadiran pengunjung ke lokasi sambutan ambang tahun baharu antaranya di KLCC, Tun Razak Exchange (TRX), Lalaport, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway menyumbang kepada peningkatan 30 peratus berbanding purata harian 2024.

Berdasarkan rekod, jumlah pengguna pada malam ambang tahun baru bagi perkhidmatan rel ialah seramai 1.27 juta dengan Kajang merupakan tertinggi iaitu 368,018 penumpang manakala perkhidmatan bas termasuk Demand Responsive-Transit (DRT) ialah 207,266 pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata kejayaan mengendalikan operasi berskala besar itu membuktikan kakitangan Rapid KL memiliki kemahiran dan kecekapan yang tinggi serta pengalaman luas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Seramai 3,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL bertugas sehingga tamat waktu operasi yang dilanjutkan hingga 3 pagi semalam (1 Januari) selain turut mendapat kerjasama pihak berkaitan seperti polis dan penganjur acara.

"Kejayaan mencatat rekod baharu ini menjadi pencetus semangat kepada Rapid KL untuk terus berusaha, memberikan perkhidmatan lebih cemerlang dan efisien kepada semua pengguna pengangkutan awam," katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Azharuddin berkata Rapid KL akan terus memperkasakan pengalaman pengguna selain turut memperkenalkan pelbagai inisiatif lebih baik tahun ini seperti perolehan bas elektrik dan van DRT baharu selain pembukaan laluan Shah Alam untuk kemudahan pengguna.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.