SHAH ALAM, 31 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta penduduk dalam menangani kegiatan pelupusan sampah haram mulai tahun depan.
Wakil rakyatnya Preakas Sampunathan berkata pihaknya melantik pengintip (spy) di kalangan penduduk di Bukit Kemuning bagi memantau aktiviti pembuangan oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan itu.
“Kami minta kerjasama penduduk membuat pemantauan di kawasan Bukit Kemuning untuk isu pembuangan sampah haram.
“Jika dikesan, ambil gambar dan lapor dengan menyerah bukti kepada MBSA untuk tindakan pendakwaan kepada pihak terbabit,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_627089" align="alignleft" width="500"] Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning Preakas Sampunathan berucap ketika program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ dan perasmian Taman Komuniti di Taman Komuniti Putra Heights, Subang Jaya pada 4 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Dalam pada itu, Preakas memaklumkan beliau mahu mempromosikan program Digitalisasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menarik lebih ramai graduan muda menceburi bidang berkenaan.
“Saya ingin membantu anak golongan berpendapatan rendah meningkatkan pengetahuan dalam digital dan menyertai program TVET di bawah Kerajaan Madani,” ujarnya.
Selain itu, beliau berharap semua projek yang dirangka bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) selesai pada tahun depan untuk memacu ekonomi negeri pada tahap lebih baik.
“Antara tumpuan utama pada 2025 ialah pembangunan pelan tindakan Lembah Klang Raya (SGKV) 2035 yang membawa manfaat kepada kawasan Kota Kemuning.
“Kedua-dua RS-1 dan SGKV 2035 ini penting untuk membina ekonomi dan infra lebih baik selain tarik lebih banyak pelaburan di Selangor,” katanya.