ad
AGENDA

PKPS, syarikat China jalin kerjasama teroka pertanian moden, pasaran global

26 Dis 2024, 6:00 AM
PKPS, syarikat China jalin kerjasama teroka pertanian moden, pasaran global

SHAH ALAM, 26 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama dengan syarikat dari China berkait perkongsian kepakaran dalam bidang pertanian moden dan pemasaran global.

PKPS menerusi anak syarikatnya, PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd memeterai Memorandum Kolabarasi (MoC) bersama China Guangxi Yufeng Food&Health Co. Ltd (Yufeng) dan China Guangxi Meili Digital Technology Co. Ltd (Meili).

Menurut Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd Chan Kok Choy, kerjasama itu berkait perkongsian kepakaran teknologi pertanian, penanaman digital, pembangunan dan pemasaran jenama produk pertanian serta buah-buahan tropika.

“MoC ini bertujuan berkongsi mengenai revolusi industri pertanian pihak terlibat termasuklah penanaman cincau dan buah-buahan tropika dengan memanfaatkan pendigitalan tenknologi pertanian dan penanaman.

“Syarikat terlibat memiliki banyak pengalaman dalam pertanian dan pemasaran di seluruh dunia. Diharap kerjasama ini membuka peluang kita mengembangkan perniagaan di rantau Asia Tenggara terutama dalam pasaran Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Melaluinya kita akan dapat memberdaya petani Selangor dengan pertanian moden selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya ditemui selepas majlis menandatangani MoC itu di Wisma PKPS di sini, hari ini.

Sementara itu Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Yufeng Wang Jianfeng berkata pihaknya sudah berkecimpung dalam penanaman dan pemprosesan cincau di China sejak 30 tahun lalu yang menjadi antara industri tumpuan di negara itu dan sudah melalui pelbagai revolusi bidang pertanian.

“Jadi kita mahu berkongsi kepakaran bersama dan meluaskan industri ini di Malaysia kerana ia ada potensi besar untuk dikembangkan,” katanya.

Sebelum ini EXCO pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor menumpukan pertanian moden dan bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import selain membantu petani meningkatkan pendapatan.

Katanya Selangor menerusi Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) meningkatkan produktiviti dan pendapatan warga tani mengalakkkan mereka menceburi pertanian bernilai tinggi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.