SUBANG JAYA, 20 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan 1,367 tapak bazar Ramadan di 21 lokasi tahun depan, maklum datuk bandarnya.
Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata permohonan permit bazar yang boleh dibuat secara dalam talian itu sudah dibuka sejak minggu lalu dan berakhir 31 Disember depan.
"Pada tahun ini, 1,367 tapak bazar Ramadan di 21 lokasi dibuka membabitkan lima zon iaitu di Puchong (7), Subang Jaya (6), Serdang dan Seri Kembangan (5), Kinrara (2) dan Putra Heights (1).
[caption id="attachment_678632" align="alignnone" width="863"] Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim ketika Mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya bil 12/2024 di Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Semua peniaga wajib menyediakan alternatif pembayaran menggunakan transaksi tanpa tunai atau 'cashless' dan mempamerkan saluran cashless @ e-wallet untuk pelanggan," katanya pada mesyuarat penuh bulanan MBSJ hari ini.
Amirul Azizan juga menjelaskan pihaknya masih meneruskan inisiatif hijau kepada pelanggan dan pengunjung bazar Ramadan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
"Antara inisiatif dilaksana kempen bebas polisterin atau stereofom dan penggunaan straw plastik. Selain itu, kita masih meneruskan kempen kitar semula minyak masak terpakai dan elak pembaziran makanan," katanya.