PETALING JAYA, 20 DIS: Sebanyak 1,260 petak bazar disediakan di 18 lokasi sekitar daerah ini sepanjang Ramadan nanti, maklum datuk bandar Petaling Jaya.
Menurut Mohamad Zahri Samingon, sebanyak 1,070 peniaga sudah membuat permohonan membabitkan 85 peratus tapak setakat Isnin lalu.
“Permohonan secara dalam talian bagi sesi pertama dari 2 hingga 15 Disember lalu manakala sesi kedua dibuka empat hari mulai 21 hingga 24 Disember,” katanya dalam mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
[caption id="attachment_669598" align="alignleft" width="348"]
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon[/caption]
Beliau menambah lima lokasi merekodkan permohonan melebihi tapak iaitu Bazar PJS 2/3 Taman Medan, PJS 1/30 Taman Sri Manja, SS 6/1 Kelana Jaya, Seksyen 4 Kota Damansara dan Apartment Vista Damansara Damai.
Berikutan itu, Mohamad Zahri menjelaskan Jabatan Perlesenan bakal menambah petak niaga sekali gus membantu peniaga beroperasi.
Tahun ini, seramai 953 peniaga mendapat permit niaga melibatkan 19 tapak bazar sepanjang Ramadan.
Sementara itu beliau berkata MBPJ meluluskan 75 petak niaga melibatkan empat tapak sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina sepanjang 26 Disember hingga 28 Januari depan.
Daripada jumlah berkenaan, katanya, 50 petak masih kosong dan permohonan secara dalam talian dibuka sehingga hari ini. Kita beri peluang untuk mereka membuat permohonan,” katanya.


