BERITA UTAMA

Negeri belanja lebih RM26 juta bantu 825 sekolah baik pulih kemudahan

19 Dis 2024, 10:04 AM
Negeri belanja lebih RM26 juta bantu 825 sekolah baik pulih kemudahan
Negeri belanja lebih RM26 juta bantu 825 sekolah baik pulih kemudahan
Negeri belanja lebih RM26 juta bantu 825 sekolah baik pulih kemudahan

SHAH ALAM, 19 DIS: Selangor menyalur sejumlah RM26.5 juta bagi bantuan baik pulih infrastruktur 825 sekolah tahun ini dalam menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan menerusi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2024 disalur kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

Selain itu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh, maklum Dato’ Seri Amirudin Shari.

[caption id="attachment_678505" align="aligncenter" width="728"] Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap pada majlis penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 19 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Ini adalah acara tahunan yang kita jalankan. Secara keseluruhannya tahun ini RM26.5 juta diagihkan, ada sedikit kelewatan kerana sebelum ini kita cuba ubah beberapa komponen, tapi akhirnya kita dapat selesaikan.

“Jadi tahun depan kita rasa boleh percepat bulan Jun atau Julai untuk agihkan kepada sekolah-sekolah,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2024, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata untuk tahun depan, permohonan bantuan berkenaan dijangka dibuka bermula 15 Januari bagi membolehkan sekolah membuat permohonan seawal mungkin.

[caption id="attachment_678504" align="aligncenter" width="773"] Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) bergambar bersama wakil sekolah yang menerima bantuan pada majlis penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 19 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Tahun ke hadapan, kita juga cuba melihat bantuan ini bukan hanya untuk pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan pendidikan dan pembelajaran untuk anak-anak,” katanya.

Sementara itu, guru Maahad Tahfiz Annur Al Islami, Tanjung Karang, Nur Nikmah Nur Hamim berkata bantuan itu akan digunakan pihaknya untuk pembinaan gelanggang badminton bagi riadah pelajar.

“Sekarang ini pelajar terpaksa pinjam gelanggang badminton di surau bersebelahan untuk riadah, jadi dengan bantuan ini kita akan cuba penuhi kemudahan itu,” katanya.

Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor diteruskan tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM26.5 juta.

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor memberikan bantuan kewangan untuk membaik pulih serta membaiki infrastruktur sekolah di negeri ini.