AGENDA

Sultan titah hakim syarie tegas mengadili, tiada kelewatan tidak munasabah

9 Dis 2024, 11:00 AM
Sultan titah hakim syarie tegas mengadili, tiada kelewatan tidak munasabah
Sultan titah hakim syarie tegas mengadili, tiada kelewatan tidak munasabah

SHAH ALAM, 9 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan hakim syarie bersikap tegas dan berani dalam membuat sesuatu penghakiman tanpa merasa takut keputusan itu dipertikai mana-mana pihak.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut bertitah supaya hakim syarie perlu memastikan tiada kelewatan yang tidak munasabah dalam pengendalian kes hingga menjejaskan hak serta kebajikan mereka yang terlibat dalam prosiding mahkamah.

Titah Baginda, sejak kebelakangan ini ada pihak yang cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan mahkamah syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran mahkamah sivil, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk hakim syarie berasa takut atau bimbang untuk memberikan penghakiman yang adil.

“Dalam kehakiman Islam, setiap keputusan yang dibuat oleh hakim syarie adalah berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan di mahkamah. Hakim-hakim dipandu dengan undang-undang bertulis seperti enakmen keterangan, tatacara jenayah, undang-undang keluarga Islam dan pelbagai lagi dalam menjalankan kes di mahkamah syariah.

“Hakim syarie perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara kehakimannya bagi memastikan keadilan kepada semua pihak di dalam sesuatu prosiding mahkamah dan keputusan dibuat itu adalah adil dan menunjukkan hikmah kepada semua pihak.

“Hakim syarie perlu memastikan agar tidak berlaku kelewatan yang tidak munasabah dalam mengendali dan membuat sesuatu keputusan sehingga menjejaskan hak serta kebajikan mereka dalam sesuatu prosiding mahkamah,” titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Air Doa dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah Selangor, Jawatankuasa Fatwa Negeri serta Pendaftar Kanan dan Wali Raja.

Berlangsung di Bilik Singgahsana Istana Bukit Kayangan di sini, Sultan Sharafuddin berkenan melantik Raja Dato' Reza Raja Dato' Zaib Shah Alhaj sebagai Orang Besar Istana berkuat kuasa hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Negeri Selangor kepada Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman dan Prof Dr Ashraf Md Hashim sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan watikah lantikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Islam kepada Mohd Farid Hadi Sharif dan Mohammad Khair Zainal manakala Mohd Zainudin Wan Yusoff dan Mohd Anuar Baharudin sebagai pendaftar Wali Raja.

[caption id="attachment_677062" align="alignnone" width="798"] Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tiga, kanan) berkenan mangaminkan doa yang dibaca oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir (empat, kiri) ketika Istiadat Menyembah Air Doa Selamat dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana di Bilik Singgahsana Istana Bukit Kayangan pada 9 Disember 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam titah istiadat, Baginda mengingatkan semua hakim syarie sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan menurut Islam selaras dengan seruan Allah SWT yang menyeru kepada hakim dilantik menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan.

Sultan Selangor turut mengingatkan kepada semua yang telah diberi amanah dan tugas agar sentiasa memperkukuhkan integriti dan menjalankan tadbir urus yang terbaik berteraskan kepada nilai-nilai Islam sebenar.

Pada istiadat sama, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar hakim syarie bersiap sedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasa kehakiman Islam.

Titah Baginda, hakim syarie juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya perlembagaan persekutuan yang turut berkait dengan pentadbiran agama Islam negeri.

“Berkaitan dengan pengurusan perkahwinan orang Islam di Selangor, setiap pendaftar-pendaftar nikah, cerai dan rujuk orang Islam yang dilantik juga perlu menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam.

“Pengurusan pendaftaran perkahwinan orang Islam ini amat penting untuk menjaga dan memelihara nasab umat Islam khususnya di Selangor.

"Justeru, pendaftar hendaklah sentiasa mengamalkan integriti yang tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa sekarang ini,” titah Sultan Selangor.