SHAH ALAM, 8 DIS: Tujuh daerah negeri ini iaitu Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang diramal hujan lebat hingga 9 malam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca sama dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka selain beberapa daerah di Perak, Johor dan Sarawak.
Menurut agensi itu di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



