SHAH ALAM, 7 DIS: Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan akan memperkemas fungsi petugas khas serta kaedah pengurusan banjir.
Dato' Menteri Besar berkata taklimat khas melibatkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat termasuk memperinci maklumat untuk mengatasi isu banjir.
“Ini sangat penting, saya ambil contoh di kawasan Bukit Raja Klang, Taman Mutiara, Shah Alam, masalah bah berlarutan apabila pihak konsensi lebuh raya tidak membenarkan kita untuk mengalihkan paip di kawasan tersebut.
“Kalau kita dapat alihkan (paip) selesai masalah banjir di situ, tetapi dengan keterlibatan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof yang memegang portfolio Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), saya percaya perkara tersebut dapat dilunaskan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Sekitar 2024 peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Awam Batu Caves di sini, hari ini.
Pada 5 Disember, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menitahkan satu pelan menyeluruh dirangka dengan segera dan satu pasukan khas dibentuk bagi mengatasi masalah tersebut.
Tegas baginda, teguran sudah diberikan berkali-kali supaya Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah efektif untuk mengatasi isu banjir yang sering berlaku di Klang serta beberapa daerah lain di Selangor.


