KLANG, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Bandar Botanik di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mengiktiraf masjid dibina seluas 2.98 ekar dengan kos pembinaan RM19 juta.
Titah Baginda, menjadi hasrat bahawa dengan terbinanya rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang dapat membentuk persefahaman dan hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama.
“Beta yakin dengan pembinaan Masjid Jamek Cina Muslim yang pertama di Selangor ini bukan sahaja dapat melambangkan perpaduan pelbagai penganut agama malah menjadi antara mercu tanda dan pusat tarikan pelancong utama di Selangor.
“Walaupun masjid ini dinamakan sebagai Masjid Jamek Cina Muslim tidak bermakna masjid ini hanya dikhaskan untuk penganut Islam berbangsa Cina sahaja. Masjid ini seharusnya terbuka kepada semua penganut agama Islam tidak kira apa bangsa sekalipun bagi menjamin perpaduan umat Islam sentiasa terpelihara.
[caption id="attachment_676526" align="aligncenter" width="1024"] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat ruang di dalam Masjid Jamek CIna Muslim Klang pada 5 Disember 2024.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ia juga dapat mengelak daripada berlakunya salah faham antara pelbagai kaum yang menganut agama Islam. Saranan ini juga terpakai bagi masjid India Muslim di seluruh negeri ini,” titah Baginda.
Masjid Jamek Cina Muslim Klang merupakan cetusan idea dan diilhamkan sendiri Sultan Selangor daripada reka bentuk salah sebuah masjid di Xi’an, China.
Pembinaan masjid tersebut bermula pada Mei 2016 selepas mendapat perkenan Sultan Selangor namun berikutan kekangan bah besar yang berlaku di Shah Alam dan Klang pada 2021 menyebabkan kerja pembinaan tergendala.
Namun, masjid yang mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa itu akhirnya siap 17 Julai lalu dan beroperasi sepenuhnya 20 Ogos 2024.
Masjid Jamek Cina Muslim Klang itu dilengkapi kemudahan seperti bilik kuliah, bilik mandi jenazah, bilik mesyuarat, pejabat pengurusan, bilik imam, bilal dan sukarelawan, perpustakaan, kedai cenderamata serta ruang makan komuniti.
Terdahulu, pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima cek cura sumbangan van jenazah daripada Bank Islam (M) Berhad yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato' Muazzam Mohd.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Selangor bagi tahun ini kepada Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi Hulu Langat.
Terdahulu, turut mengiringi Baginda ke majlis perasmian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_676527" align="aligncenter" width="1125"] Masjid Jamek Cina Muslim Klang adalah cetusan idea dan diilhamkan sendiri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj daripada reka bentuk salah sebuah masjid di Xi’an, China. Masjid yang mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa itu dirasmikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 5 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]