ad
AGENDA

Penyasaran subsidi diesel, kerajaan jimat RM600 juta sebulan

2 Dis 2024, 6:53 AM
Penyasaran subsidi diesel, kerajaan jimat RM600 juta sebulan
Penyasaran subsidi diesel, kerajaan jimat RM600 juta sebulan

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan menjana penjimatan sebanyak RM600 juta sebulan selepas melaksanakan penyasaran subsidi diesel bermula Jun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penjimatan itu membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak sumber bagi membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Penjimatan diperoleh kerajaan akan disalurkan dalam sektor kritikal lain termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan antaranya seperti jalan, hospital, dan sekolah.

“Kerajaan terus komited mengukuhkan jaringan perlindungan sosial lebih inklusif selaras dengan hasrat kerajaan dalam menaikkan lantai bawah ekonomi Madani,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung penjimatan penyasaran subsidi diesel dan pelaksanaannya.

[caption id="attachment_675998" align="alignleft" width="395"] Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. Foto BERNAMA[/caption]

Menurut Hui Ying, lebih 140,000 penerima Budi Madani individu dan 65,000 penerima Budi Agri-Komoditi direkodkan dengan jumlah bayaran RM160 juta, setakat 31 Oktober lalu,

Berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak, ahli parlimen Tanjong itu menjelaskan perkara berkenaan memerlukan masa dan masih dalam peringkat kajian.

“Ini kerana sebahagian besar mod pengangkutan bagi melakukan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di dua wilayah ini menggunakan bahan api diesel.

"Tambahan, keadaan geografi dua wilayah ini juga mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme 'fleet card' yang memerlukan kemudahan infrastruktur lebih sesuai, terutama di pedalaman,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 10 Jun.

Susulan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif Budi Madani dengan bantuan tunai RM200 sebulan bagi memastikan peruntukan subsidi disasar kepada golongan yang layak.