ad
AGENDA

Bank perlu tanggung penuh kerugian pelanggan akibat penipuan

4 Mac 2025, 5:32 AM
Bank perlu tanggung penuh kerugian pelanggan akibat penipuan
Bank perlu tanggung penuh kerugian pelanggan akibat penipuan

SHAH ALAM, 4 MAC: Pihak bank perlu menanggung sepenuhnya kerugian akibat penipuan jika ia berpunca daripada kelemahan institusi berkenaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau menegaskan ia selaras ketetapan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa institusi kewangan perlu menjalankan siasatan terperinci dan telus terhadap setiap kes penipuan, lapor Sinar Harian.

Jelasnya, BNM turut menekankan prinsip kebertanggungjawaban bersama bagi kes yang melibatkan kelemahan di kedua-dua pihak, iaitu antara bank dan pelanggan.

"Dengan dasar ini, beban kerugian bagi kes sedemikian tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh mangsa. Mangsa berhak mendapat pampasan yang sewajarnya.

[caption id="attachment_675998" align="alignleft" width="473"] Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. Foto BERNAMA[/caption]

"Sebarang siasatan yang tidak berpihak kepada pelanggan tertakluk kepada semakan bebas bagi memastikan penilaian yang objektif," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pekan Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali berhubung usaha kerajaan melindungi hak rakyat berkait isu kehilangan wang dalam akaun di Dewan Rakyat hari ini.

Hui Ying menambah mangsa yang tidak bersetuju dengan keputusan atau pampasan bank berhak mengemukakan pertikaian kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS).

Dalam pada itu, katanya, terdapat pengguna yang mendedahkan butiran keselamatan peribadi secara sukarela dan memuat turun aplikasi daripada sumber tidak dipercayai.

Menurutnya, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 mendapati 37 peratus responden secara sukarela berkongsi kata laluan perbankan mereka dengan rakan rapat.

Sebanyak 62 peratus responden pula tidak mengendahkan ciri keselamatan laman sesawang bank yang dilayari, manakala 89 peratus jarang menukar kata laluan mereka, tambahnya.

"Justeru, dasar baharu ini juga menekankan tanggungjawab pengguna sebagai benteng utama menangani penipuan perbankan dalam talian dan melindungi butiran keselamatan peribadi mereka," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.