SHAH ALAM, 1 DIS: Projek Penerbitan Buku Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)– Malaysia Madani bakal menerbitkan 122 naskhah pelbagai genre sekali gus melonjak industri buku.
Presiden Pena Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata usaha tersebut melepasi sasaran 100 buku malah menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 600 penulis.
“Setakat ini kita sudah terbitkan 30 buku sejak dilancar pada Julai. Bila dapat dana, kita adakan jerayawara di tujuh zon termasuk Sabah, Sarawak untuk bertemu dan beri penerangan kepada para penulis.
“Ini menjadi ruang untuk penulis berkarya dan sambutan hangat ini tunjukkan industri buku ini memerlukan banyak penerbit supaya hasrat penulis dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Bual Bicara Penerbitan Buku Pena Malaysia Madani bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, semalam.
Pada Julai, Saleeh peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM2.5 juta akan digunakan untuk beberapa program termasuk menjayakan projek ini dengan menerbit novel, cerpen, puisi, buku kanak-kanak dan juga buku akademik serta esei.
Beliu berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Perpustakaan Negara dan juga perpustakaan lain supaya karya dihasilkan sampai kepada khalayak.