SHAH ALAM, 29 NOV: Banjir yang melanda Klang berpunca faktor hujan berterusan dan fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru penduduk di kawasan berisiko sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan berpindah berikutan air pasang besar dijangka berlaku sekali lagi malam ini.
“Dijangka malam ini berlaku air pasang besar dan penduduk di kawasan berisiko digesa sentiasa berwaspada, ikuti pengumuman terkini dan mematuhi arahan perpindahan jika diperlukan.
“Seluruh agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir dan bencana telah bersiap siaga dalam memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Amirudin meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru diiringi wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid.
[caption id="attachment_675579" align="aligncenter" width="1156"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru diiringi wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid pada 29 November 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Dalam pada itu, Amirudin mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menyegerakan empat projek kolam takungan yang dijangka membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit.
Menurutnya, satu kolam takungan di Alam Budiman dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala yang lain masih dalam proses reka bentuk akhir dan kelulusan.
“Banjir di Meru sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu dan ini yang kedua berlaku untuk tahun ini. Kita ada empat projek yang sedang dirancang dan saya sudah arahkan JPS untuk siapkan segera,” katanya.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS dibuka di Selangor iaitu di SK Sungai Binjai dan MPKK Bukit Kapar, menempatkan 487 mangsa daripada 111 keluarga.
[caption id="attachment_675580" align="aligncenter" width="1356"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diberi penerangan mengenai pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru diiringi wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid pada 29 November 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]


