SHAH ALAM, 26 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang bermula esok hingga 3 Disember di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah. Hadiah wang tunai RM500 turut ditawarkan kepada 15 pengunjung bertuah pada setiap hari. SIBF turut diserikan dengan program bual bicara bersama sasterawan negara.
Acara tahun ini menampilkan kelainan apabila dianjurkan di bawah Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES). Selain SIBF, acara lain ialah Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor (SRIE); Ekspo Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024.
Sebelum ini, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad memaklumkan SIBF tahun ini disertai pemain industri buku dari pelbagai negara seperti China, Indonesia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006. Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.