AGENDA

Karnival hartanah PKNS dihadiri 10,000 pengunjung, diterus tahun depan

23 Nov 2024, 7:00 AM
Karnival hartanah PKNS dihadiri 10,000 pengunjung, diterus tahun depan
Karnival hartanah PKNS dihadiri 10,000 pengunjung, diterus tahun depan
Karnival hartanah PKNS dihadiri 10,000 pengunjung, diterus tahun depan

CYBERJAYA, 23 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pilih Karnival 2024 yang bakal melabuhkan tirainya esok, mencatat kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang lima bulan penganjurannya sekitar Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata menerusi karnival itu orang ramai berpeluang melihat projek perumahan PKNS berkonsepkan kediaman pangsapuri, rumah bandar dan rumah teres dua tingkat.

“Kita mahu bina kesedaran masyarakat mengenai produk PKNS. Mungkin 60 tahun dulu PKNS banyak membina rumah flat (rumah pangsa) tetapi sekarang kita beralih kepada segmen berbeza.

[caption id="attachment_674498" align="alignnone" width="808"] Pengunjung melihat rumah contoh ketika Majlis Penutup Pilih Karnival Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Galeri Jualan Selangor Cyber Valley, Sepang pada 23 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Walaupun kami masih membina rumah pangsa tetapi kami juga beralih ke peringkat perumahan bernilai lebih tinggi (bagi memastikan PKNS kekal relevan) kerana industri ini sangat kompetitif.

“Tahun depan kita akan teruskan karnival dengan fokus lebih strategik (supaya lebih ramai tahu produk ditawar PKNS ),” katanya selepas melancarkan PKNS Pilih Karnival 2024 di Selangor Cyber Valley (SCV) di sini, hari ini.

Turut dilancarkan pembukaan rasmi galeri jualan SCV yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk rumah contoh bagi projek di kawasan sekitar.

[caption id="attachment_674499" align="alignnone" width="874"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato' Mahmud Abbas bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato' Abd Hamid Hussain memotong riben ketika Majlis Penutup Pilih Karnival Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Galeri Jualan Selangor Cyber Valley, Sepang pada 23 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

PKNS Pilih Karnival merupakan inisiatif kempen gaya hidup oleh PKNS Homes yang menjadi platform kepada anak syarikat Kerajaan Negeri itu mendekati komuniti setempat sambil mempromosikan produk perumahan kepada masyarakat.

Menggabungkan pelbagai elemen hiburan sesuai untuk seisi keluarga, program ini bukan sahaja menarik minat orang ramai tetapi juga berupaya meningkatkan kesedaran serta jualan hartanah PKNS seiring promosi menarik ditawarkan sepanjang karnival.

Bermula 9 pagi hingga 11 malam hari ini dan 8 pagi hingga 6 petang (esok), karnival turut menyediakan pelbagai pertandingan serta aktiviti menarik seperti Street Soccer, zoo mini, Soopa Doopa, cabaran libas takraw dan timbang bola serta cabaran penalti.

Selain itu, rakan strategik PKNS iaitu Maybank, Bank Islam, Bank Muamalat, Affin Bank dan Bank Simpanan Nasional turut membuka reruai pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan informasi berkaitan pinjaman dan pembiayaan perumahan.