SHAH ALAM, 20 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memeterai kerjasama dengan syarikat pembekal daging terkemuka dunia, Allanasons Private Limited yang akan memperkukuh jaminan keselamatan makanan Selangor.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bagi pembekalan sejuta kilogram (kg) daging di Gudang Makanan Selangor yang mampu menampung keperluan penduduk Selangor selama sebulan.
“Ini merupakan perjanjian untuk pembekalan daging beku bagi tujuan memenuhi keperluan Gudang Makanan Selangor melibatkan satu juta (daging kerbau) yang telah siap sedia dan boleh bekalkan keperluan penduduk Selangor untuk sebulan.
“Sekarang ini untuk sebulan dulu, dan kita akan naikkan (bekalan) secara berperingkat. Jadi nanti kita akan tingkatkan kepada tiga bulan (melibatkan) tiga juta kg (daging),” katanya ditemui selepas menyaksikan sesi pertukaran MoU antara PKPS dan Allanasons Private Limited di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Izham berkata inisiatif itu bukan saja bertujuan melindungi bekalan makanan negeri ketika kecemasan tetapi bertujuan menstabilkan harga pasaran dan mengurangkan pergantungan kepada sumber makanan luar.
[caption id="attachment_674140" align="aligncenter" width="1188"]
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim (tiga,kanan) menyaksikan pertukaran dokumen oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Allanasons Private Limited (Allana) Manish Muley (dua, kanan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Langkah strategik ini menekankan komitmen negeri terhadap kesejahteraan penduduk dan daya tahan rantaian bekalan makanannya,” katanya.
Sementara itu ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS berkata agensi itu terus komited memperkukuh rangkaian antarabangsa untuk memacu sistem bekalan makanan yang mampan dan kompetitif.
“Kerjasama ini menandakan komitmen bersama bukan saja ke arah memperkukuh bekalan makanan di Selangor tetapi juga mewujudkan rangkaian logistik dan penyimpanan yang teguh dan kompetitif,” kata Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi.
Ketua Pegawai Eksekutif Allanasons Private Limited Manish Muley berkata, pihaknya mempunyai rekod yang sudah lama berkait pembekalan daging ke Malaysia dan menyifatkan kerjasama dengan Selangor inisiatif terbaik untuk memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri ini.
“Diharap kerjasama ini dapat terus diperkukuh untuk memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Terdahulu, Izham menyaksikan pertukaran MoU dengan PKPS diwakili Dr Mohamad Khairil dan Manish Muley mewakili Allanasons Private Limited.


