SHAH ALAM, 20 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI komited mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan pembangunan bagi kelima-lima teras dalam belanjawan negeri 2025.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata teras yang diumumkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mewujudkan rangka kerja kukuh kepimpinan Selangor dalam landskap ekonomi negara.
"MBI Selangor sejajar dengan visi ini dan kami menggerakkan sumber dan anak syarikat untuk menyokong keutamaan strategik ini," kata Saipolyazan M Yusop dalam kenyataan pada 18 November.
"Kami kekal komited untuk memberikan impak yang boleh diukur merentasi kelima-lima teras sambil memastikan pulangan mampan atas pelaburan kami."
Menyokong penuh Belanjawan Selangor 2025 berjumlah RM3.03 bilion, beliau berkata peruntukan itu akan memposisikan negeri ini untuk pertumbuhan pesat, selain memastikan pembangunan mampan.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.3 bilion bagi pembangunan.
Bertema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, belanjawan 2025 digerakkan melalui lima
teras utama iaitu:
■ kecerdasan buatan dan pemangkin kemajuan ekonomi negeri
■ mendukung hasrat alam sekitar mampan dan infrastruktur berkualiti
■ memupuk negeri penyayang
■ menjuarai tadbir urus cekap dan wibawa
■ membugar ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda