SHAH ALAM, 5 DIS: Belanjawan Selangor 2025 membuka paradigma baharu khususnya dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) selain memperkukuh keperluan negeri secara keseluruhan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembentangan belanjawan tahun depan itu juga menumpukan kepada kemajuan bidang pendidikan bagi melahirkan sumber daya manusia yang inklusif.
“Saya rasa kita buka paradigma baharu dengan AI dan kita sedang kukuhkan keperluan kita. Dalam tempoh lima tahun, pelaburan langsung asing (FDI) kita tidak besar tetapi pelaburan tempatan kita melebihi FDI.
“Itu menunjukkan syarikat tempatan kita berkembang dengan bagus dan kita sedang kukuhkan ekosistem tersebut,” katanya selepas menyempurnakan program Dialog Shah Alam di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini.
[caption id="attachment_676478" align="aligncenter" width="916"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial" di Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian mengulas kritikan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang menyifatkan Belanjawan Negeri 2025 tidak memiliki arah tuju jelas, yang disiarkan akhbar tempatan Ahad lalu.
Menurut Amirudin, Selangor mahu menyediakan sumber manusia yang berdaya saing bagi memenuhi keperluan pelabur sekali gus mencipta rantaian bekalan tempatan sendiri.
“Di China, mereka tarik pelabur asing dan kemudian mereka buat rantaian bekalan sendiri yang besar. Itulah kekurangan kita dan Selangor sedang tangani perkara itu.
“Trasnformasi teknologi harus dilakukan orang tempatan dan tidak boleh harapkan syarikat multinasional, kerana selepas kos operasi meningkat mereka akan berpindah,” katanya.
Pada 15 November lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 bilion bagi Belanjawan 2025 dengan tema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani.
[caption id="attachment_676465" align="aligncenter" width="1047"] Peserta Forum Dialog Shah Alam "Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial" di Unisel Shah Alam pada 5 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]